Wednesday, April 29, 2009

Artis jahil dan fasiq adalah penjahanam islam...

SAYA percaya rakyat Malaysia masih terkejut dengan aksi berani Bintang Paling Popular 2008, Nabil, apabila beliau memeluk kekasihnya, Irma Hasmi di khalayak ramai.

Siarannya ditonton jutaan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur daripada anak kecil sehinggalah orang dewasa melalui siaran langsung di kaca TV pada Anugerah Bintang Popular 2008.

Alasan yang diberikan oleh Nabil ialah beliau terlampau terkejut dengan kemenangan yang diraih dan itu merupakan aksi spontan. Menurutnya, itu adalah kali pertama beliau berperangai sedemikian.

Saya tidak berminat untuk tahu adakah itu kali pertama beliau memeluk kekasihnya atau tidak. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia yang masih menghormati adat dan tatasusila serta berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur sukar menerima perbuatan Nabil yang keterlaluan.

Bukan sahaja perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak, bahkan merupakan perbuatan yang menggambarkan betapa masyarakat Malaysia hari ini, terutamanya dalam kelompok mereka yang bergelar artis, begitu mengambil mudah dan memandang ringan apa yang dipandang serius oleh masyarakat umum.

Selepas itu, satu lagi aksi 'berani mati' ditunjukkan oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7, Aril, yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dengan memeluk tenaga pengajar wanita Akademi Fantasia iaitu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan Shafi.

Rancangan itu juga ditonton oleh penonton yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai, khususnya kanak-kanak. Alasan yang diberikan, Aril menganggap cikgu-cikgunya di akademi itu sebagai ibunya sendiri dan pelukan itu merupakan tanda hormat.

Saya berasa sedih dengan alasan yang diberikan kerana tidak bolehkah Aril hanya mencium tangan bagi menunjukkan rasa hormat terhadap orang yang dianggap berjasa kepadanya? Kenapa perlu memeluk dengan erat dan bersungguh-sungguh?

Saya kesal anak kecil yang menonton rancangan tersebut telah mula ditanam dengan aksi berani dan perkara tersebut tidak mustahil mendorong mereka untuk berkelakuan demikian.

Satu persoalan yang bermain di fikiran saya ialah, tidakkah Kementerian Penerangan peka dengan apa yang berlaku? Tidakkah Kementerian Penerangan mempunyai garis panduan berhubung had dan batasan penyiaran rancangan hiburan di Malaysia?

Tidakkah ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas kesopanan tatasusila masyarakat Malaysia? Bukankah tindakan juga boleh diambil ke atas stesen TV berkenaan?

Saya menyeru agar Kementerian Penerangan duduk semeja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bagi menyediakan satu garis panduan khusus tentang perkara ini jika belum ada. Jika sudah ada, pihak Kementerian perlu menguatkuasakannya.

Jangan sampai timbul kes ketiga, keempat atau kelima yang menyaksikan sesiapa sahaja yang namanya lelaki memeluk wanita yang bukan muhrim di khalayak ramai.

Perkara ini bukan sahaja mencemarkan budaya dan adat Melayu, malah boleh merosakkan pemikiran anak kecil yang menonton rancangan seumpama itu.

No comments:

Post a Comment